Keunikan atau Simbolik Kampung Laut

Laman Warisan Kampung Laut terkenal dengan tiga komponen utama iaitu Laman Serunding, Laman Warisan Seni serta Masjid Kampung Laut.


Laman Warisan Serunding

Sumber gambar: UPKN Kelantan

Laman Warisan Serunding Kampung Laut menyediakan ruang niaga untuk sembilan usahawan anak tempatan Kampung Laut yang menjual makanan istimewa tempatan seperti serunding, dodol dan gelembung buaya.  Laman Warisan Serunding mendapat tumpuan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memandangkan serunding di Kampung Laut merupakan pusat pembuatan seruding yang terbesar di Malaysia dan terkenal di negeri Kelantan. Antara serunding yang dipasarkan di seluruh semenanjung Malaysia ialah Serunding Daging, Ayam, Ikan serta Bilis.


Laman Warisan Seni

Sumber gambar: Koleksi persendirian

Kampung Laut turut terkenal dengan hasil kesenian dan kraf tangan yang diwarisi sejak turun temurun.  Masyarakat di Kampung Laut gemar menghasilkan karya-karya seni seperti batik, wau serta hasil barangan kraf tangan. Penghasilan Wau merupakan hasil kesenian utama bagi masyarakat tempatan Kampung Laut. Mereka sering kali menghasilkan wau Sobek. Keunikan penghasilan hasil seni di Kampung Laut ini telah mendapat perhatian oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam projek pembangunan semula Kampung Laut yang turut melibatkan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.


Masjid Kampung Laut


                                                                                  Sumber gambar: Koleksi Persenirian

Masjid Kampung Laut ini mempunyai nilai sejarah yang cukup tinggi sehingga diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah Persatuan pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Masjid Kampung Laut ini terkenal dengan keunikannya iaitu antara masjid kayu yang tertua dibina di Asia Tenggara dengan berusia lebih daripada 300 tahun. Keunikan masjid Kampung Laut ini terletak pada seni bina masjid tersebut yang diperbuat daripada kayu cengal serta seni bina tanpa menggunakan sebarang paku yang menjadikan struktur pembangunan masjid ini sangat kuat dan tahan lama.


Sejarah Masjid Kampung Laut



Sumber gambar: Blog Nufa

Masjid Kampung Laut ini dikatakan sebagai bukti kedatangan islam ke Tanah Melayu iaitu terbina pada abad ke-15 yang dikaitkan dengan para pedagang yang datang berdagang sambil berdakwah dalam menyebarkan agama islam kepada masyarakat tempatan.  Pembinaan masjid Kampung Laut ini dibina akibat daripada peristiwa kapal para pedagang yang ingin datang belayar bocor dan dimasuki air.  Lantas, para pedagang bernazar atau berjanji sekiranya kapal mereka selamat sampai ke darat yang terdekat, lalu mereka akan mendirikan sebuah masjid di kawasan tersebut.  Ditakdirkan dengan kuasa tuhan, mereka dapat meneruskan pelayaran dan telah selamat sampai ke dataran tepi pantai yang terletak bersebelahan dengan Kampung Laut. Lalu, mereka telah mendirikan masjid tersebut dengan bantuan masyarakat setempat.






Comments

Popular posts from this blog

Latar Belakang Kampung Laut